CUNGKIL BAKAT ATLET MUDA



25cungkil
KUBANG PASU 25 Disember - Sukan Kedah Darul Aman (Sukda) ‘gagah’ di gelanggang sukan negeri ini sejak beberapa lama sebagai salah satu usaha kerajaan negeri untuk mencungkil atlet baharu sebelum dihentikan kira-kira 13 tahun lalu.
Agak membanggakan apabila acara yang dinanti-nantikan dalam kalangan penggemar sukan negeri itu kembali ke gelanggang tahun ini sekali gus me­nyemarak aktiviti sukan negeri ini.
Acara berprestij yang kali terakhir diadakan pada 2002 itu diadakan semula selama lima hari bermula 14 Disember lalu dipertandingkan di empat daerah di Kubang Pasu, Kota Setar, Kuala Muda dan Sik dengan membabitkan 12 kontinjen.
Kontinjen Kuala Muda muncul juara keseluruhan Sukda 2016 selepas berjaya mengutip 19 pi­ngat emas, 16 perak dan 15 gangsa dalam temasya yang melabuhkan tirainya pada Ahad lalu.
Penganjuran Sukda kali ke­enam selepas 13 tahun tidak diadakan itu turut menyaksikan daerah Kubang Pasu pula menduduki tangga kedua dengan pungutan 18 pingat emas, lima perak dan 14 gangsa manakala Kota Setar sekadar berpuas hati di tempat ketiga.
Sukda 2016 yang mempertan­dingkan lapan jenis sukan iaitu bola sepak, silat, petanque, sepak takraw, tenpin boling, memanah, ragbi dan olahraga memperlihatkan Muhammad Syazirol Shamsudin, 16, yang mewakili daerah Kota Setar diangkat sebagai olahragawan manakala atlet Kuala Muda, Teoh Kim Chyi, 19, dipilih sebagai olahragawati.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kerajaan negeri menganjurkan semula Sukda pada tahun ini selepas terhenti 13 tahun sebagai ­usaha membangunkan sukan negeri dan mencungkil bakat muda.
“Seperti yang saya umumkan dalam amanat sempena 100 hari perkhidmatan sebagai Menteri Besar, Sukda akan diberi nafas baharu dan diadakan berselang-seli de­ngan Sukan Malaysia (Sukma).
“Sebagai persiapan kontinjen Kedah untuk menyertai Sukma 2018 di Perak, kita bagaimanapun sekali lagi akan menganjurkan Sukda pada depan.
“Dengan penganjuran Sukda dua tahun berturut-turut diharap­kan dapat memberi peluang kepada kita untuk mendapatkan atlet-atlet berkualiti,” katanya ketika berucap menutup Sukda 2016 di Mini Stadium Jitra, di sini baru-baru ini.
Ketika ditemui Ahmad Bashah memberitahu, pihaknya berhasrat untuk menambah acara dalam penganjuran Sukda pada tahun depan sebagai usaha memperluaskan mencari lebih banyak bakat berkualiti dalam pelbagai kategori sukan.
“Kita berhasrat nak masuk acara yang menyediakan banyak pingat dalam Sukma 2018 nanti dan salah satunya adalah acara renang. Pada Sukma di Sarawak baru-baru ini, terdapat 42 pi­ngat yang ditawarkan namun kita langsung tidak menyertainya.
“Sedangkan renang adalah lubuk pingat yang perlu disertai untuk meningkatkan pungutan pingat pada Sukma 2018 di Perak nanti,” ujarnya.
Menurut Ahmad Bashah, pi­hak­nya dalam mesyuarat kerajaan negeri baru-baru ini bersetuju untuk mengambil seorang jurulatih renang selain menyasarkan semua sekolah di ne­geri ini mempunyai kelab renang ­ma­sing-masing.
“Kita mempunyai kemudahan yang bagus termasuk kolam renang namun kita tidak mempu­nyai jurulatih lagi. Dengan ada­nya jurulatih, kita berharap dapat mencungkil bakat dalam acara renang ini,” katanya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan