BINA BENTENG SEGERA ELAK HAKISAN



26bina
JITRA 26 Disember - Pintu kuala di Kuala Tunjang, di sini, semakin melebar gara-gara kerap di badai ombak sehingga menjejaskan nelayan di kawasan itu.
Sehubungan itu, rata-rata nelayan memohon pihak berwajib membina benteng penahan ombak bagi mengatasi beberapa masalah yang melanda mereka.
Shahidan Osman, 59, berkata, ketika ini, nelayan terpaksa menanggung kerugian apabila bot yang diletakkan di kuala berkenaan rosak dipukul ombak.
Menurutnya, setiap kali musim monsun barat laut, ombak sangat kuat hingga mampu merosakkan bot nelayan serta menghakis jalan di sekitar kawasan itu.
"Ombak kali ini memang kuat, nelayan pun tak dapat turun ke laut kerana bimbang keselamatan diri.
"Jadi kita letakkan bot dekat pintu kuala tapi lain pula jadinya sebab ombak kuat sangat, habis bot kami rosak," katanya.
Shahidan berkata, masalah itu bermula sejak 15 tahun lalu apabila pintu kuala semakin luas dan ombak masuk dengan kuat hingga mampu membadai bot-bot kecil yang di letak di jeti kuala itu.
Katanya, masalah itu dapat diatasi apabila pihak berkenaan dapat menambak batu sepanjang 200 meter untuk menutup separuh pintu kuala bagi mengurangkan alunan ombak yang kuat.
“Kami yakin cara ini berjaya kerana telah terbukti di Sungai Padang Perlis masalah itu sudah dapat diatasi dan nelayan di situ mulai merasa lega.
"Malah selepas pembinaan benteng ini, nelayan boleh tanam pokok api-api dan bakau untuk menjadi penahan ombak," katanya.
Benteng itu juga dikatakan mampu mengurangkan hakisan jalan di sepanjang kuala itu
Sebelum ini, kuala itu dikatakan dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok tetapi dengan keadaan pintu kuala yang semakin luas menyebabkan berlakunya hakisan.
Sementara itu, Ketua Nelayan Kuala Tunjang, Idris Md Zain berkata, masalah itu sudah pun dimaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pusat Khidmat Parlimen Jerlun.
Bagaimanapun sehingga sekarang belum ada sebarang tindakan diambil dan pihaknya berharap masalah itu akan mendapat perhatian dan tindakan segera perlu dijalankan.
Sumber : Sinar