TAICHI BANTU WARGA EMAS CERGAS



SUNGAI PETANI 21 September - Taichi, senaman berasaskan seni bela diri dan teknik pergerakan tubuh badan yang popular di China kini bukan sekadar popular dalam kalangan masyarakat Tiong Hua malah kaum lain yang menganggap aktiviti itu mampu memberi kecergasan pada badan.

Bagi Yahya Jaafar, 78, dari Taman Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) Alor Setar, senaman itu baik terutama kepada warga emas yang perlu menjaga kesihatan.


“Inilah satu senaman paling sesuai untuk warga emas. Sebagai warga emas kita perlu menjaga kesihatan diri sendiri dan selepas pencen dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, senaman jenis ini yang paling saya sukai berbanding yang lain,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan persembahan Taichi 18 sempena sambutan Hari Fisioterapi Sedunia Peringkat Negeri Kedah di sini, baru-baru ini.


Yahya merupakan seorang daripada peserta program berkenaan yang berjaya memukau orang ramai dengan persembahan taichi itu.


Bercerita lanjut katanya, apa yang perlu dilakukan oleh setiap peserta melalui taichi ialah, menarik nafas melalui hidung dan kemudian melepas nafas melalui mulut ketika melakukan pergerakan anggota badan lain.


Seorang lagi penggemar taichi, Habsah Kassim, 71, juga dari Taman PKNK Alor Setar berkata, dia mempelajari senaman itu setelah menjadi ahli Kelab Warga Emas Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar.


“Ramai dalam kalangan warga emas berusia 60 hingga 70 tahun ke atas berminat mempelajari taichi pada setiap Isnin, Selasa dan Khamis mulai pukul 8.30 hingga 9.30 pagi.


“Badan rasa segar semula apabila selesai main sukan taichi ini,” katanya.


Sawiyah Nyak Yusof, 76, dari Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar berkata, dia mengamalkan senaman itu ini sejak 2002 setelah mendapati ia sangat berkesan untuk kesihatan badan.


“Taichi boleh dikatakan sebagai salah satu cara terbaik untuk mengurangkan tekanan, kita perlu mempelajari daripada mereka yang terlatih dalam bidang itu.


“Wanita tanpa mengira usia boleh mempelajari taichi, sukan ini mula popular di China dan berbagai-bagai teknik latihan boleh dipelajari oleh peserta daripada jurulatih berpengalaman,” katanya.
Oleh : Abd Razak Osman
Sumber : Utusan