GUNA AIR SECARA BERHEMAH



8guna
ALOR SETAR 7 September - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menasihatkan lebih 50,000 pesawah di negeri ini dan Perlis supaya berdisiplin dan berhemah dalam menggunakan air yang disa­lirkan ke kawasan sawah seluas 100,685 hektar.
Pengerusinya, Datuk Othman Aziz berkata, pihaknya tidak sepenuhnya akan membekalkan air ke kawasan sawah pada musim kedua pada tahun ini.
“Saya ingin mengingatkan pesawah supaya menggunakan air secara berhemah kerana mereka kena ingat, pada musim ini tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada air yang dibekalkan MADA.
“Mereka perlu bergantung kepada bekalan air alam iaitu hujan. Hujan memang turun pada masa ini dan sebab itu, kita boleh mula menabur pada 28 September ini bagi fasa pertama, 8 Oktober (fasa kedua) dan 18 Oktober (fasa ketiga).
“MADA akan membekalkan air selepas benih ditabur dan ketika padi sedang membesar. Bagaimanapun kita akan menghentikan bekalan air pada 31 Januari 2017 bagi fasa pertama, 10 Februari (fasa kedua) dan 20 Februari (fasa ketiga),” katanya selepas Majlis Penyerahan Kawasan baru MADA di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, Othman memberitahu, sebanyak 83.2 peratus tanaman padi di kawasan Muda masak dan sebanyak 408 peratus sudah dituai sehingga 31 Ogos lalu bagi musim 1/2016.
“Purata hasil pengeluaran padi sehingga 1 September lalu bagi musim ini mengikut bancian awal adalah sebanyak 6.14 tan sehektar. Malah dijangka hasil tuaian pada tahun ini akan melebihi purata musim 1/2015 iaitu seba­nyak 6.282 hektar.
“Secara keseluruhan serang­an perosak, penyakit utama dan rumpai terkawal namun serang­an siput gondang berlaku di kawasan seluas 2,344 hektar. Serang­an tikus pula berlaku di kawasan seluas 2,244 hektar.
“Oleh itu, MADA telah menjalankan Kempen Pengawalan Perosak dan Penyakit dengan serangan siput gondang dan tikus diberi penekanan untuk mengatasi masalah tersebut,” ujarnya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan