CARI WARIS BAYI PEREMPUAN



15cari
KULIM 15 September - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim mencari waris kepada seorang bayi Alisya Umaira berusia satu bulan 18 hari yang kini dijaga sepasang suami isteri di Kampung Siam, dekat sini.
Menurut Nor Azimah Budiman, 34, yang juga penjaga sementara, bayi tersebut diserahkan seorang rakan kakak iparnya di Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 2 Ogos lalu.
Katanya, bayi tersebut dipercayai kepunyaan seorang warga Indonesia berumur lingkungan 40an yang menyerahkan kepada rakan kepada kakak iparnya.
“Kakak ipar ada hubungi saya dan suami, Mohd Fazli Halim, memberitahu ada bayi yang ditinggalkan ibu dan memerlukan keluarga angkat untuk dijaga.
“Jadi, saya yang masih belum dikurniakan zuriat bersetuju untuk menjaganya dan menjadikannya anak angkat kami,” katanya.
Menurutnya, ibu bayi tersebut terpaksa menyerahkan Alisya kepada rakan senegaranya kerana mempunyai masalah kewangan.
“Dia terpaksa serahkan anaknya kepada orang lain kerana tak mampu dan nak pulang ke kampung halaman di Indonesia,” katanya.
Dalam pada itu, Pelindung JKM Kulim, Regina Shaari berkata, bayi tersebut akan diletakkan di bawah jagaan sementara pasangan suami isteri itu sebelum di bawa ke Mahkamah Kanak-Kanak 27 September ini untuk tindakan lanjut.
“Kita mencari waris bayi tersebut untuk prosedur membuat sijil lahir dan sekiranya tiada tuntutan kita akan bawa kes itu ke mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber : Sinar